Thursday, September 29, 2011

~Renungan~


Jauhi Dengki dan Dendam

Para sahabat yang dihormati;
 Bertakwalah kepada Allah (swt), takwa dalam erti memelihara diri daripada segala bentuk kemusyrikan dan kemunafikan yakni dengan mantaati dan mengerjakan semua perintah Allah serta meningalkan larangan-larangan-Nya.
 Juga  takwa yang dapat  melahirkan  amal-amal  saleh yan nyata sebagai bukti kebenaran iman , sebab segala perbuatan dan amal manusia, baik  atau jahatnya merupakan cermin  imannya  terhadap Allah (swt).
 Dendam atau dalam bahasa Arab disebut  hiqid,bermaksud rasa permusuhan di dalam hati dan menanti-nanti waktu yang terbaik untuk melepaskan dendamnya,menunggu kesempatan yang tepat  untuk membalas sakit hati dengan mencelakakan orang yang didendami.
 Berbahagialah  orang-orang yang berlapang dada, berjiwa besar  dan pemaaf. Tidak sesuatu yang menyenangkan dan menyegarkan pandagan mata seseorang, kecuali hidup dengan hati  bersih dan jiwa  yang sihat, bebas  daripada rasa kebingungan  dan  bebas daripada rasa dendam  yang sentiasa menggoda manusia.
 Orang yang bersih  hatinya  dan sihat jiwanya  ialah mereka  yang apabila melihat orang lain memperoleh sesuatu  nikmat, ia berasa  senang  dan merasakan  kurnia itu ada pula pada dirinya. Dan apabila ia melihat  musibah yang menimpa seseorang dari hamba Allah, ia ikut merasakan sedihnya dan mengharapkan kepada Allah untuk meringankan penderitaan dan mengampuni dosanya.
 Begitulah seorang Muslim, hendaklah selalu hidup dengan hati yang bersih dan jiwa yang sihat, redha terhadap ketentuan Allah dan terhadap kehidupan. Jiwanya bebas terhadap perasaan dengki dan dendam kerana perasaan dengki dan dendam itu merupakan penyakit hati dan mengurangkan iman.
 Islam sangat mementingkan kebersihan hati kerana hati yang penuh dengan noda-noda kekotoran itu dapat merosakkan amal saleh, bahkan menghancurkannya. Hati yang bersih, jernih dan bersinar itu dapat menyuburkan amal dan mendorong semangat untuk meninggatkan amal ibadat, dan Allah memberkati dan memberikan segala kebaikan kepada orang yang hatinya bersih.
 Oleh kerana itu Muslim yang sebenar terdiri daripada orang-orang yang bersih jiwanya dan sihat hatinya, yang berdiri atas landasan saling cinta menyintai, saling kasih mengasihi, sayang menyayangi, pergaulan yang baik dan kerjasama yang saling menguntungkan, tidak ada seorang yang ingin untung sendiri, bahkan golongan yang ini seperti yang digambarkan dalam Al-Quran:
 Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar), mereka bedoa, “Ya Tuhan kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terlebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengakian didalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, sesungguhya Engkau Maha penyantun lagi Maha penyayang (Al-Hasyr : 10)
 Apabila rasa permusuhan tumbuh dan suburnya, rasa kasih sayang akan hilang dan akibatnya merosakkan pendamaian. Dan jika sudah sampai sedemikian, maka dapat menghilangkan keseimbangan yang akan menjurus kepada dosa-dosa kecil seterusnya dosa-dosa besar yang  dikutuk oleh Allah.
 Perasaan iri hati terhadap nikmat yang diperolehi oleh orang lain kadangkala menimbulkan perasan yang bukan-bukan. Islam membenci perbuatan sedemikian dan memperingatkan supaya tidak terjerumus kedalamnya. Mencegah ketegangan dan permusuhan, merupakan ibadat besar menurut Islam, sebagaimana sabda Nabi Muhammad (saw).
 “Mahukah aku beritahu kepadamu perkara yang lebih utama daripada puasa, solat dan sedekah?” Jawab sahabat, “tentu mahu”. Sabda Nabi (saw), “Iaitu mendamaikan antara kamu, kerana rosaknya pendamaian dikalangan kamu adalah menjadi pencukur iaitu perosak agama.”  (Abu Dawud dan Termizi)
 Kadangkala syaitan tidak mampu menggoda orang yang bijak utnuk menyembah berhala, tetapi syaitan juga sering mampu menggoda dan menyesatkan manusia melalui celah-celah pergaulan dengan cara merosakkan kedamaian antara mereka itu sendiri sehingga gagal mengawal hawa nafsu, mereka tersesat dan melaupai kewajipan terhadap Tuhannya, bagaikan menyembah berhala. Disinilah syaitan mula menyalakan api permusuhan dalam hati manusia dan ia senang melihat api itu membakar manusia dari zaman ke zaman sehingga turut terbakarnya hubungan manusia.
 Kita terus mengetahui bahawa manusia itu berbeza-beza tabiat dan wataknya, kecerdasan akal dan daya tangkapnya. Oleh itu dalam pergaulan dan pertemuan dalam kehidupan, kadang kala mereka timbul perselisihan dan permusuhan. Maka Islam telah mensyariatkan penetapan akhlak yang baik, yang membuat hati mereka luhur dan berpegang kepada kasih sayang. Islam juga melarang memutuskan hubungan dan berbalah-balah. Allah tidak redha perbuatan sedemikian sebagaimana sabda Nabi (saw).
 Janganlah kamu memutuskan hubungan, belakang-membelakangi, benci-menbenci dan hasut menghasut. Hendaknya kamu menjadi hamba Allah yang bersaudara antara satu sama lain (yang muslim) dan tidaklah halal bagi (setiap) muslim mendiamkan saudaranya lebih dari tiga hari.   (Bukhari & Muslim)
 Dalam hadis ini dinyatakan batas tiga hari kerana pada umumnya kemarahan boleh reda dalam tersebut. Setelah itu wajib bagi seorang muslim menyambung kembali hubungan persaudaraannya dengan saudara sesama muslim dan membiasakan sifat yang utama ini. Terputusnya hubungan persaudaraan ini tidak ubah seperti awan hitam atau mendung, apabila telah dihembus angin hilanglah mendungnya dan cuaca pun jadi bersih dan terang kembali.
 Ringkasnya, orang yang mempunyai penyakit hati seperti rasa dendam, iri hati dan dengki hendaklah selalu ingat bahawa kekuasaan Allah menguasai segalanya. Juga hendaklah ia ingat bahawa harta benda dan kedudukan yang bersifat duniawi itu tidak kekal selamanya.
 Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikurniakan Allah kepada sebahagian daripada kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain (kerana) bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagaian daripada apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah Yang Maha Mengetahui segala sesuatu.(An-Nisa: 32

No comments:

Post a Comment